ARAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menyasarkan nilai jualan sebanyak RM20,000 menerusi program sehari Jualan Khas Semarak Aidiladha 1446H/2025 yang berlangsung di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dekat sini, hari ini.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata jualan khas itu melibatkan penyertaan 50 usahawan dengan penyediaan bekalan makanan sebanyak 8.3 tan metrik (MT) bagi membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang sambutan Aidiladha.
“Barangan yang ditawarkan ialah daging lembu tempatan sebanyak 0.2 MT, ayam (0.1 MT), ikan dan hasil laut (3.0 MT), sayur dan buah-buahan (2.0 MT) serta beras putih tempatan (3.0 MT), tawaran harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jualan khas itu di pasar tani kekal berkenaan hari ini.
Mohd Anzara berkata Jualan Happy Hour Kombo MADANI merangkumi bawang dan sawi serta gula dan minyak masak masing-masing satu kilogram (kg) yang dijual secara set pada harga RM5 berbanding harga asal RM10 turut diadakan pada jualan khas itu dan sebanyak 100 set habis terjual dalam tempoh 10 minit.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri menerusi Program Ziarah Kasih Insan Aidiladha 1446H yang melibatkan pembekalan tiga ekor lembu atau 280kg daging untuk diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terpilih di negeri ini.