MELAKA: Bintang filem antarabangsa Fan Bingbing memberi bayangan bahawa beliau akan kembali ke Melaka bulan depan untuk melakukan kerja baharu.
“Saya juga berharap dapat membawa lebih banyak cerita yang baik untuk Melaka,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka.
Penganugerahan itu berlangsung sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Pada tahun lepas, Fan dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka dan kehadirannya selama tiga hari pada Jun 2024 berjaya melonjakkan sektor pelancongan negeri.
Terdapat 1.2 bilion carian mengenai dirinya dan Melaka semasa lawatan tersebut.
Fan mempunyai kira-kira 63 juta pengikut di Weibo dan 4.1 juta pengikut Instagram.
Beliau lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.
Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, ‘X-Men: Days of Future Past’.
Fan turut berlakon dalam filem Perancis dan Korea sepanjang kerjaya seninya.
Pada 2017, Fan menghiasi kulit majalah Time dan dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh. – Bernama