BANGI: Fasa pertama sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kebangsaan dalam perawatan hospital, khususnya untuk penyakit ringan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata ketika ini ia masih dalam proses libat urus yang sangat intensif melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk pihak lain seperti persatuan takaful.

“Kita harap dapat (laksanakan) sesuatu yang mudah bermula tahun ini sebab saya sendiri sudah ‘address’ perkara ini sejak saya masuk (menjawat jawatan Menteri Kesihatan) pada 2023.

“Perkara ini rancak dibincangkan di Parlimen dan ia mengizinkan kami untuk mempercepat perbincangan ini supaya kita dapat rumuskan satu sistem DRG yang sesuai untuk Malaysia. Kita mulakan dengan apa yang mudah, iaitu yang kita kategorikan sebagai penyakit ringan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan Projek MyGenom dan sesi pemberian sampel darah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Mengakui pelaksanaan DRG mengambil sedikit masa, Dzulkefly berkata ia bagi memastikan sistem berkenaan bersesuaian dengan keperluan negara dan tidak memerlukan rujukan kepada mana-mana negara luar, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.

“DRG mengambil masa yang panjang untuk disempurnakan tetapi pelaksanaan awal adalah untuk penyakit ringan sebelum kita pergi kepada suatu yang kompleks. Kita kena bangunkan DRG yang bersifat sempurna yang sesuai untuk Malaysia,” katanya.

Pada 10 Dis lepas, Dzulkefly berkata perbincangan mengenai pelaksanaan DRG sedang giat dijalankan bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan pesakit sekali gus membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan.