KUCHING: Presiden Kelab Bola Sepak Kuching City Datuk Fazzrudin Abdul Rahman tidak berhasrat untuk menubuhkan pasukan baharu sekiranya dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Sebaliknya, beliau mahu melaksanakan misi untuk memartabatkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi sekiranya diberikan kepercayaan menerajui persatuan berkenaan.
“Sudah tentu bola sepak adalah komitmen saya. Jika diberi peluang menerajui FAS, kita perlu melihat semula peranan FAS dan apa harus kita laksanakan.
“Bagi saya, ia bukan lagi tentang membentuk pasukan bola sepak sebaliknya adalah untuk membawa bola sepak kepada rakyat,“ katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan prapembukaan Pusat Konvensyen Metrocity di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak mengakui tidak dapat melaksanakannya sendirian tanpa sokongan padu daripada pasukan yang kuat.
“Banyak cara (untuk kita laksanakan), saya ada beberapa idea. Sudah tentu saya seorang tidak dapat melaksanakannya. Saya memerlukan pasukan yang sangat kuat dan menyokong, barulah ia dapat dilaksanakan,“ katanya.
Fazzruddin berkata matlamatnya bukan saja mahu membentuk skuad yang mantap tetapi pada masa sama mewujudkan sebuah persatuan bola sepak yang teguh supaya dapat merealisasikan hala tuju sukan itu di Sarawak.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata Fazzruddin merupakan calon terbaik untuk menggalas jawatan Presiden FAS berdasarkan prestasi beliau menerajui Kuching City FC sejak ditubuhkan pada 2015.
Kelab ini melonjak ke saingan Liga Super pada 2022 dan setakat musim 2024/25 berada di tangga keempat di belakang pasukan JDT, Selangor dan Sabah.
Nama Fazzrudin disebut-sebut bakal mengisi jawatan presiden pada pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan FAS yang dijadualkan pada 14 Jun ini bagi menggantikan Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman yang tidak akan mempertahankan jawatan itu bagi penggal 2025/2027.