• 2025-09-29 03:20 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keberanian serta usaha terkoordinasi aktivis antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, yang menyertai Global Sumud Flotilla dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menyifatkannya sebagai pendirian tegas menentang penindasan dan simbol solidariti global bersama Palestin.

Beliau berkata penglibatan individu daripada pelbagai negara mencerminkan tanggungjawab bersama masyarakat dunia dalam mencabar keganasan serta keganasan yang ditaja negara dan memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

“Tindakan berani individu yang menyertai flotila ke Gaza melambangkan pendirian tegas menentang penindasan serta solidariti padu bersama rakyat Gaza.

“Penyertaan aktivis antarabangsa, termasuk dari Malaysia, menegaskan pentingnya tanggungjawab global yang dikongsi bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed- Bernama