PUTRAJAYA: Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengesahkan semua majikan, termasuk yang sebelum ini mendapat penangguhan, perlu mematuhi kadar baru ini.
Menurut kenyataan rasmi KESUMA, peraturan ini meliputi pekerja bukan warganegara dan kontrak perantisan, kecuali pekerja domestik. “Majikan perlu semak semula struktur gaji syarikat bagi pastikan tiada pekerja menerima gaji di bawah RM1,700,“ tegas kenyataan tersebut.
Kegagalan mematuhi PGM boleh mengakibatkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, dengan tambahan RM1,000 sehari jika kesalahan berterusan. Untuk kes berulang, denda maksimum mencecah RM20,000 atau hukuman penjara lima tahun.
KESUMA turut menggalakkan majikan menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) secara sukarela. “DGP membolehkan pekerja dapat kenaikan gaji berdasarkan produktiviti dan kemahiran, sambil majikan nikmati insentif kerajaan,“ jelas kenyataan itu.
Aduan berkaitan PGM boleh dibuat di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau melalui laman web rasmi KESUMA. Maklumat lanjut mengenai DGP pula boleh didapati di www.gajiprogresif.gov.my. - Bernama