KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan, berkuat kuasa 1 Feb 2025, mencerminkan usaha berterusan kerajaan yang menitikberatkan pendapatan rakyat, yang menjadi asas kehidupan lebih baik dan berkualiti.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata pendekatan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dalam menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar terbaru gaji minimum berkenaan.

Beliau turut menyarankan pihak majikan menerima kenaikan ini dengan baik dan memandangnya sebagai usaha untuk meningkatkan martabat pekerja.

“Kita faham hakikat bahawa majikan menjalankan perniagaan demi keuntungan, tetapi pada masa sama mereka harus berkongsi sebahagian daripada keuntungan tersebut dengan pekerja masing-masing,“ katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700, berkuat kuasa 1 Feb 2025.

Sementara itu, Mohamed Shafie berkata kenaikan gaji minimum RM1,700 seharusnya menjadi satu titik tolak dalam memastikan taraf hidup pekerja terus meningkat dan turut menggalakkan sekiranya ada majikan menawarkan gaji lebih tinggi daripada kadar minimum ditetapkan.

Beliau berkata penstrukturan ekonomi hanya boleh dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna.

“UNI-MLC yakin bahawa sebagaimana disebutkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, penstrukturan ekonomi hanya akan dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata UNI-MLC juga menyambut baik pengumuman Kementerian Sumber Manusia menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan, yang akan menjadi rujukan penting bagi para pekerja.

“Ini memperlihatkan kepimpinan yang proaktif di bawah Menteri Sumber Manusia Steven Sim,“ kata Mohamed Shafie.