• 2025-06-28 10:28 AM

GUA MUSANG: Sebuah galeri khas akan dibuka di bandar Gua Musang bagi mempamerkan rangka manusia prasejarah berusia 14,000 tahun yang dikenali sebagai ‘Mek Keldung’.

Galeri ini dijangka menjadi tarikan baharu pelancongan di Kelantan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata pembukaan galeri itu memberi peluang kepada orang ramai dan pelancong untuk melihat sendiri khazanah bersejarah hasil penemuan Projek Hidroelektrik Nenggiri.

“Saya sudah melawat Gua Keldung, antara gua yang ditenggelami akibat pembinaan empangan hidroelektrik ini.

Satu rangka manusia berusia 14,000 tahun ditemui dan diselamatkan oleh pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),“ katanya.

Artifak berharga itu akan dipamerkan di galeri khas yang bakal dibina di bandar Gua Musang.

“Ini adalah khazanah bernilai untuk negeri dan negara,“ tambahnya selepas melawat Gua Keldung dalam Program 4xplore Teroka Alam: Legasi Di Bumi bersama Rakan Alam Sekitar.

Penemuan ini adalah hasil kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri yang diketuai Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli dari UKM.

Mohd Azmawi Fikri berkata galeri itu bukan sekadar pusat pameran tetapi juga akan menjadi tarikan pelancongan baharu yang boleh meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

“Kami percaya lebih banyak artifak akan ditemui kerana pembangunan empangan ini melibatkan 22 gua kecil, dengan 12 daripadanya bakal ditenggelami air.

Setiap penemuan akan diselamatkan oleh UKM untuk dipamerkan,“ jelasnya.

Langkah ini diharap dapat mempromosikan Gua Musang bukan sahaja sebagai destinasi alam semula jadi tetapi juga lokasi penemuan prasejarah penting.