BALIK PULAU: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan 1,200 akaun pengguna di daerah Barat Daya akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama lapan jam pada minggu depan.
Gangguan bekalan air itu akan berlangsung dari pukul 10 malam pada Selasa hingga 6 pagi pada Rabu.
Ia disebabkan oleh kerja-kerja pemasangan Electromagnetic Magflow Meter dan Pressure Reducing Valve di daerah Barat Daya.
Kawasan terjejas merangkumi seluruh kawasan sepanjang Kuala Jalan Baru.
Gangguan ini juga melibatkan Lorong Prestij 1 hingga 9 dan Solok Prestij 1 hingga 8.
Bangunan kediaman yang terjejas termasuk Apartment Prestij 3, Flat Taman Prestij 3, dan Pangsapuri Idaman Prestij.
PBAPP menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan air yang mencukupi bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.
Syarikat itu akan mengemas kini status gangguan bekalan air ini menerusi Facebook rasmi PBAPP Penang dari semasa ke semasa.
PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna akibat gangguan berjadual ini. – Bernama