GEORGE TOWN: Gangguan bekalan air bukan perkara baharu bagi penduduk Mukim 5, Seberang Perai Selatan yang mengalami masalah berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Kawasan terbabit adalah Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Kampung Sungai Duri, Kampung Sungai Baong dan Permatang Ara yang terletak di kawasan Sungai Jawi, Seberang Perai Selatan.

Pengerusi Jawatankuasa Taman Seruling Emas G. Ramakrishna berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi alasan masalah itu timbul disebabkan sumber air perlu diagih kepada projek perumahan atau kawasan perindustrian lain.

“Adalah menjadi syarat untuk sebarang projek baharu supaya pemaju mengenal pasti sumber air mencukupi dan diluluskan oleh PBAPP sebelum mendapat kebenaran merancang.

“Alasan seperti terdapat peningkatan permintaan air disebabkan musim cuti sekolah atau sambutan perayaan turut diberikan PBAPP dan ia dilihat tidak profesional,“ katanya kepada pemberita selepas mengadakan himpunan aman di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, beliau bersama kira-kira 30 penduduk turut menyerahkan memorandum berhubung isu tersebut kepada wakil kerajaan negeri.

Ramakrishna berkata masalah bekalan air semakin kritikal sejak beberapa bulan lepas dengan purata bekalan air hanya diperoleh dari 1 pagi hingga 6 pagi.

“Tempoh paling lama (gangguan bekalan) adalah semasa Tahun Baharu Cina iaitu selama 15 jam dan pada hari raya ketiga baru-baru ini, mencecah hingga 20 jam,“ katanya.

Seorang penduduk, Nurulniza Zaini, 44, berkata beliau terpaksa menukar rutin harian dengan tidur awal dan bangun antara 1 dan 2 pagi untuk melakukan pelbagai urusan terutama membasuh pakaian dan pinggan mangkuk sebelum bekalan air terputus semula sebelum 6 pagi.

“Kadang-kadang pada 4.30 pagi, air keluar sangat perlahan dan sebelum subuh air sudah tiada. Memang kami ada tangki tadahan air tetapi ia tidak mencukupi kerana tempoh untuk menyimpan air sangat singkat.

“Tangki sementara memang ada tetapi agak jauh dari rumah dan kerja-kerja mengangkut air sangat memenatkan. Pendek kata, masalah air ini sangat membebankan pengguna,“ katanya. - Bernama