• 2025-07-23 06:18 PM

KLANG: Semua 65,520 bas berdaftar di Malaysia perlu mematuhi garis panduan pendawaian elektrik tambahan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai Januari 2026.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah ini diambil susulan insiden remaja maut akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon di bas ekspres di Terminal Penang Sentral tahun lalu.

“Siasatan mendapati wujud kecuaian dalam pemasangan pendawaian elektrik tanpa pengawasan individu kompeten. Oleh itu, JPJ memperkenalkan dokumen Internal Work Sheet (IWS(e)) sebagai bukti pematuhan,“ katanya selepas melawat kilang pembuatan bas Pioneer Coachbuilder Sdn Bhd di sini.

Dokumen IWS(e) mengandungi tiga komponen utama: pemeriksaan kemasan pemasangan, keselamatan elektrik seperti sistem pembumian, dan ujian fungsi peralatan. Penyediaan dokumen ini hanya boleh dilakukan di bawah penyeliaan juruteknik elektrik berdaftar dengan kelayakan minimum Pendawai PW2 dari Suruhanjaya Tenaga.

“Pemilik bas perlu kemukakan IWS(e) semasa pemeriksaan di PUSPAKOM. Bas binaan tempatan juga perlu sertakan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP),“ jelas Aedy Fadly. Bas berdaftar sebelum 2026 diberi tempoh peralihan setahun untuk penyesuaian sebelum penguatkuasaan penuh pada 2027.

Pemilik atau pengusaha bas yang ingkar berdepan pembatalan permit dan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat. Insiden di Penang Sentral sebelum ini mendorong penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi siasatan lanjut. - Bernama