KUALA LUMPUR: Semua bentuk sumbangan atau pelibatan luar termasuk orang kenamaan dan ahli politik di institusi pendidikan perlu mematuhi garis panduan sedia ada, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau menegaskan bahawa penyaluran sumbangan atau pendanaan awam hendaklah mengikut ketetapan dalam surat pekeliling ikhtisas KPM Bilangan 3 tahun 2018. “Sumbangan ini penting bagi memastikan interaksi profesional di sekolah serta mengutamakan keselamatan dan kebajikan warga pendidikan,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Fadhlina menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai prosedur pemberian sumbangan oleh organisasi seperti syarikat, yayasan, atau wakil rakyat. Beliau menekankan bahawa sebarang lawatan atau pelibatan orang kenamaan dan ahli politik juga tertakluk kepada garis panduan dalam surat pekeliling Bilangan 4 tahun 2023.
“Kedua-dua garis panduan ini memastikan sumbangan dan pelibatan luar dilaksanakan secara berhemah, berfokus kepada manfaat pendidikan, serta selaras dengan prinsip ketelusan dan keharmonian sekolah,“ jelasnya.
Dalam isu lain, Fadhlina turut menjawab soalan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai penjajaran silibus pembelajaran dengan keperluan pasaran. Beliau menyatakan bahawa KPM mempunyai sistem bimbingan untuk pelajar memilih laluan pendidikan dan kerjaya sesuai dengan kelayakan serta minat mereka.
“Pelajar akan dipandu oleh guru kaunseling berdasarkan keputusan akademik dan penglibatan kokurikulum untuk memilih kursus yang sesuai selepas SPM,“ katanya.
Fadhlina turut menjelaskan bahawa KPM sedang memperkukuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 dengan fokus kepada teknologi AI dan pemerkasaan TVET. “Kami menekankan lima aspek utama iaitu kualiti, akses, sumber, keluwesan, dan kemampanan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan,“ ujarnya.
Pelantar pembelajaran digital DELIMa turut menyediakan 16 aplikasi AI seperti Gemini dan ChatGPT untuk membantu guru merancang pengajaran dengan lebih efektif. - Bernama