• 2025-07-22 10:08 AM

KUALA LUMPUR: Kerangka Kerja Pusat Data yang mampan dijangka diperkenalkan pada Oktober ini, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi satu hantaran di platform X, beliau berkata kerangka tersebut akan diletakkan di bawah Kementerian Digital. Ia akan melibatkan koordinasi strategik bersama semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan pembangunan pusat data lebih teratur.

Tengku Zafrul menjelaskan persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) 2025, yang dipengerusikan bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menjadi ‘focal point’ bagi semua permohonan projek pusat data baharu dan pembesaran. Ini memastikan semua inisiatif berjalan lancar tanpa pertindihan fungsi,“ katanya.

Beliau menekankan bahawa mesyuarat tersebut penting bagi memastikan industri pusat data negara lebih mampan, berdaya saing, dan mesra pelabur. DCTF merupakan platform strategik pelbagai agensi yang diterajui oleh MITI dan Kementerian Digital untuk menyelaras perancangan pusat data secara holistik. - Bernama