• 2025-07-22 10:05 AM

KUALA LUMPUR: Pelan tindakan kerajaan bagi menangani ketegangan geopolitik di Timur Tengah menjadi antara agenda utama persidangan Dewan Rakyat hari ini. Perkara itu dibangkitkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kepada Perdana Menteri semasa sesi pertanyaan.

“Kerajaan perlu memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara dalam situasi geopolitik semasa,“ katanya menurut Aturan Mesyuarat melalui portal Parlimen.

Isu lain yang turut dibahaskan termasuk kesan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan terhadap penentuan sempadan maritim Malaysia-Indonesia. Soalan itu diajukan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran).

Sementara itu, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) meminta penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkenaan langkah menangani isu tarif Amerika Syarikat.

Persidangan turut membincangkan isu subsidi dan impaknya terhadap pasaran telur tempatan melalui soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat meneruskan pembentangan beberapa rang undang-undang penting termasuk Racun (Pindaan) 2025 dan Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025.

Persidangan selama 24 hari ini akan memfokuskan kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai depan. - Bernama