JOHOR BAHRU: Satu gempa bumi lemah berukuran 2.9 pada skala Richter dikesan melanda kawasan Sri Medan, Parit Sulong, Batu Pahat, pada 6.39 petang tadi.
Pusat gegaran terletak di koordinat 1.95 darjah Utara dan 102.99 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer menurut laman sesawang myGempa Jabatan Meteorologi Malaysia.
Tiada sebarang laporan kerosakan atau gegaran kuat diterima setakat ini berikutan kejadian tersebut.
Beberapa siri gegaran telah direkodkan di Segamat sebelum ini bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi 24 Ogos dengan magnitud 4.1.
Gegaran susulan berlaku pada 8.59 pagi Rabu dengan magnitud 3.2 dan 7.56 malam Khamis dengan magnitud 2.5.
Gegaran turut direkodkan pada 4.24 pagi Jumaat dengan magnitud 3.4 dan 7.29 pagi Sabtu lepas dengan magnitud 2.7.
Satu gegaran magnitud 2.9 juga direkodkan pada 31 Ogos di kawasan yang sama.
Satu gegaran berasingan direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada 24 Ogos. – Bernama