PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan semula keperluan pendidikan anak-anak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan masih berada di rumah selamat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penyelarasan itu perlu memandangkan masih ada anak-anak berada di rumah selamat JKM.

“Kita akan selaraskan semula pendidikan mereka (anak-anak) mengikut umur dan kesesuaian mereka untuk mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah-sekolah KPM,“ katanya dalam sidang media mengenai pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan pendidikan anak-anak GISBH yang diselia oleh KPM bermula 1 Okt lepas.

Pada 5 Dis lalu, dilaporkan lebih 130 anak-anak bekas anggota GISBH tidak dituntut ibu bapa mereka berikutan takut tampil bertemu pegawai JKM, selain berdepan masalah kewangan.

Media sebelum ini melaporkan seramai 420 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global sudah diserahkan kepada keluarga mereka, termasuk empat yang diserahkan kepada Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS).