SEPANG: Pengenalan perkhidmatan kenderaan elektrik (EV) khas untuk e-hailing oleh Grab Malaysia dijangka meningkatkan lagi mutu sistem pengangkutan di pintu masuk utama negara sekali gus menyokong agenda mobiliti mampan selaras aspirasi negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh inisiatif itu serta komited dalam mempercepat peralihan negara ke arah sistem pengangkutan lebih bersih, cekap, dan mesra alam
Grab Malaysia hari ini turut melancarkan perkhidmatan EV perkhidmatan ‘EV-only ride’ sebagai antara pilihan tempahan dalam aplikasi Grab serta menubuhkan EV Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai kemudahan tambahan bagi pengguna perkhidmatan EV premium.
“Pemilihan KLIA sebagai lokasi pelancaran amat strategik bukan sahaja kerana jumlah trafik penumpang yang tinggi tetapi juga kerana ia memberi pendedahan maksimum kepada pengguna domestik dan antarabangsa mengenai usaha Malaysia dalam memperkukuh mobiliti hijau,” katanya.
Berucap melancarkan Grab EV di sini hari ini, Loke berkata kerjasama awam swasta ialah kunci kejayaan dalam mempercepat penggunaan EV di seluruh negara.
Pelancaran inisiatif baharu itu juga menjadi pemangkin kepada pengembangan EV di seluruh Malaysia, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di bandar utama lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, dan Kota Kinabalu.
“MoU terkini antara Grab dan beberapa rakan strategik, termasuk penyedia EV dan syarikat pengecasan baru-baru ini, mencerminkan keselarasan pihak industri dengan aspirasi negara.
“MOT akan terus menyokong usaha sebegini dan kami menyeru lebih banyak pihak industri untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan mereka dalam agenda penyahkarbonan negara,” katanya.
Beliau berkata menerusi Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 dan Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan 2021–2025, kenderaan elektrik dikenal pasti sebagai antara teras utama untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau.
Antara usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan termasuk pengecualian cukai dan insentif bagi pembelian EV, pemasangan pengecasan EV, dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor pengangkutan.
Usaha lain antaranya pelaksanaan zon rendah karbon di kawasan bandar, dan penyediaan infrastruktur pengecasan EV yang lebih meluas termasuk di lebuh raya, pusat beli-belah, dan lapangan terbang.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata inisiatif baharu itu menyokong inisiatif mobiliti hijau Malaysia dengan memperkenalkan pilihan perjalanan EV untuk pelancong dari lapangan terbang.
“Dengan mengutamakan laluan yang mempunyai kebolehlihatan dan permintaan tinggi seperti KLIA, kami berhasrat untuk menyerlahkan kebolehgunaan dan keselesaan EV sambil meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna.
“Pelancaran itu menandakan satu pencapaian penting dalam mengubah asas pengangkutan awam atas permintaan ke arah mod pelepasan rendah atau sifar, menjadikan mobiliti lestari lebih mudah diakses oleh rakan pemandu dan penumpang kami,” katanya.
Grab EV menawarkan perkhidmatan menggunakan kenderaan elektrik BYD M6, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik dilengkapi tujuh tempat duduk yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih senyap dan lancar kepada penumpang.