IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan stesen minyak mengadakan kerjasama bagi menjadikan premis stesen minyak sebagai tempat orang ramai mendapatkan bantuan awal kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata kolaborasi melalui program Go To Safety Point (GTSP) itu akan mengupayakan stesen minyak sebagai pusat sehenti bagi memberi perlindungan kepada mangsa sama ada jenayah mahupun kemalangan sebelum pihak stesen minyak menghubungi pihak polis atau ambulans.

“Stesen minyak di negeri Perak termasuk 80 stesen minyak Petronas akan berkolabrasi dengan PDRM menyertai GTSP demi memastikan keselamatan pengguna dan komuniti setempat.

“Jadi saya sarankan kepada orang ramai yang berdepan kecemasan termasuk perlukan bantuan perubatan ketika berada di stesen minyak berhampiran boleh meminta bantuan awal kepada petugas stesen minyak,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan GTSP Stesen Minyak Petronas Kampung Kepayang, dekat Simpang Pulai hari ini.

Zulkafli berkata melalui kerjasama di bawah program ‘United Against Crime’, kesemua penyelia di stesen minyak terlibat akan diberi kursus untuk menghadapi kecemasan yang juga akan diajar kepada pekerja mereka seperti menenangkan mangsa, menjaga keselesaannya, menghubungi pihak polis dan hospital serta menemani mangsa sehingga bantuan tiba.

Beliau berkata untuk menjadi rakan GTSP, kriteria yang perlu ada pada pihak pengusaha stesen minyak adalah rangkaian stesen mereka perlu beroperasi 24 jam selain mempunyai banyak cawangan.

“Sesebuah stesen perlu mempunyai ruang premis yang luas, tidak terpencil serta menjadi tumpuan awam dan mempunyai kamera litar tertutup termasuk ciri-ciri lain keselamatan premis.

“Sejak dilaksanakan, inisiatif GTSP ini mencatatkan beberapa kejayaan membuktikan keberkesanannya dalam membantu anggota masyarakat berhadapan dengan kecemasan yang telah direkodkan oleh PDRM,“ katanya.