• 2025-08-05 02:51 PM

KOTA BHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun pada Mac dan Mei tahun lepas.

Syahril Faiza Zakaria, 51, didakwa melakukan dua perbuatan itu ketika berada di dalam sebuah kereta pada 2 petang Mac 2024, manakala dua lagi perlakuan dilakukan di sebuah tandas di sebuah resort Pantai Cahaya Bulan, di sini, Mei tahun sama.

Keempat-empat pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta yang sama, dibaca bersama seksyen 16 Akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan untuk setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Syahril Faiza memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam, kebajikan mangsa dan mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.

Peguam Mohd Saifullah Che Mat merayu agar jaminan sesuai dikenakan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri, mempunyai masalah jantung sejak Mei lepas, menghidap kemurungan tahap serius dan tidak berkahwin. Anak guamnya yang sebelum ini berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Tumpat juga, katanya telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan di daerah berkenaan.

Hakim Zulkifli Abllah membenarkan Syahril Faiza diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa secara langsung atau tidak langsung serta melapor diri ke balai polis setiap dua bulan sekali. Mahkamah kemudian menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama