• 2025-09-09 11:37 AM

KUANTAN: Seorang guru wanita mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang mendakwa beliau terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah menyatakan mangsa berusia 55 tahun mula-mula menerima panggilan telefon daripada individu yang berpura-pura sebagai wakil syarikat insurans.

Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada pihak lain yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis.

Suspek kemudian menuduh mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan memaksa mangsa membuat pembayaran yang dikatakan sebagai “jaminan diri”.

Mangsa telah melakukan sebanyak 41 transaksi kewangan ke dalam 32 akaun bank berbeza antara 14 Februari hingga 7 September 2025.

Wang tersebut berasal daripada simpanan peribadi mangsa, akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional anaknya, hasil gadaian barang kemas, dan penjualan saham.

Mangsa hanya menyedari penipuan tersebut selepas suspek mengarahkannya memadam semua rekod perbualan dan resit pembayaran.

Mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada hari semalam.

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan denda. – Bernama