KOTA BHARU: Seorang guru silat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga anak murid lelakinya yang berusia 15 dan 17 tahun di hotel serta rumah inap.
Faizul Yusoff, 54, berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Kampung Semut Api Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini pada 9 malam 13 Feb lepas dan 3 pagi 14 Feb 2025.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun di sebuah rumah inap di Kampung Talang Kadok di sini pada 1 pagi 13 Nov 2023.
Faizul turut menghadapi pertuduhan sama melibatkan mangsa berusia 17 tahun dan kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah inap di Kubang Golok, Bachok pada 3 pagi 28 Jan lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala Faizul diwakili peguam Nur Alyaa Mohd Zain dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes itu adalah serius manakala Nur Alyaa memohon jaminan minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai guru silat serta mempunyai lima anak.
Hakim Zulkifli Abllah membenarkan Faizul diikat jamin RM10,000 bagi setiap kes dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes.