KANGAR: Seorang guru wanita kerugian RM23,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Touch ‘n Go dan pihak berkuasa pada 29 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata guru berusia 26 tahun yang mengajar di sebuah sekolah di Pauh, Arau itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 12.21 tengah hari, yang memaklumkan Touch ‘n Go miliknya digunakan untuk mencuri wang daripada akaun orang lain.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pihak berkuasa (iaitu) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang kononnya mendakwa mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Guru ini diminta untuk membuat pemindahan wang ke akaun sebuah bank yang diberikan suspek berjumlah RM23,000 dengan satu kali transaksi bagi mengelakkan akaun banknya dibekukan dan mangsa membuat transaksi pindahan wang itu pada hari sama, 29 Mei lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata guru itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas menyemak semula maklumat dan membuat laporan polis pada keesokan harinya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis,” katanya.