• 2025-06-21 10:38 AM

NEW YORK: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat pada Jumaat menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menyekat Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.

Hakim Daerah AS, Allison Burroughs memutuskan bahawa Harvard boleh terus menempatkan pelajar antarabangsa sementara kes itu diselesaikan di mahkamah, menurut laporan media tempatan pada Jumaat.

Pada 22 Mei lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS membatalkan pensijilan Harvard dalam Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP), menyebabkan kira-kira 7,000 pelajar asing di universiti berprestij itu berpindah ke institusi lain atau berisiko berada di Amerika Syarikat secara haram.

Harvard kemudian memfailkan saman terhadap jabatan berkenaan, menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk balas dendam yang tidak sah kerana menolak tekanan pentadbiran Trump untuk merombak dasar universiti berkaitan protes kampus, kemasukan pelajar, pengambilan kakitangan dan isu lain.

Awal Jun lalu, Presiden Trump turut menyekat kemasukan pelajar asing ke AS untuk menyambung pengajian di Harvard, atas alasan perundangan yang berbeza.

Harvard mencabar langkah itu dan sekali lagi Burroughs mengeluarkan perintah sementara bagi menghalangnya.

Sebagai reaksi terhadap kritikan konservatif bahawa Harvard terlalu liberal dan bertolak ansur terhadap gangguan anti-Yahudi, pentadbiran Trump memotong lebih US$2.6 bilion dalam bentuk geran penyelidikan kepada universiti itu, menamatkan kontrak persekutuan dan mengancam untuk menarik balik status pengecualian cukainya.