KUALA TERENGGANU: Hari Eksport Terengganu 2023 merupakan antara platform terbaik bagi melahirkan lebih ramai usahawan pengeksport khususnya di Terengganu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sharimahton Mat Saleh berkata program tersebut mendedahkan para usahawan terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengenai maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta pendedahan terhadap khidmat sokongan yang disediakan kerajaan.
“MATRADE berharap usahawan negeri Terengganu yang berminat untuk meneroka pasaran antarabangsa akan memanfaatkan program ini untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan berkaitan eksport dan seterusnya mengambil langkah-langkah awal untuk mula mengeksport,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Terengganu 2023 di Pusat Dagangan Terengganu, di sini hari ini.
Hari Eksport Terengganu 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh MATRADE dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bagi menggalakkan eksport produk Malaysia, khususnya dalam kalangan PMKS untuk tingkatkan perdagangan antarabangsa.
Sharimahton berkata Hari Eksport Terengganu 2023 telah berjaya mengumpulkan komuniti perniagaan, terutamanya para usahawan tempatan untuk berkongsi pengetahuan, menjalin hubungan perniagaan serta meneroka peluang pasaran eksport.
Beliau menambah ia secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada lebih banyak produk terutama daripada sektor PMKS di Terengganu untuk berjaya menembusi pasaran dunia.
“Syarikat dari seluruh Malaysia yang telah berdaftar dengan MATRADE adalah sebanyak 11,750 syarikat tetapi syarikat dari Terengganu hanya mewakili kurang dua peratus daripada jumlah itu.
“Jadi kami ingin melihat lebih ramai usahawan PMKS berjaya mengeksport produk mereka kerana peluangnya banyak dan Terengganu mempunyai produk yang berpotensi tinggi seperti keropok lekor dan nasi dagang,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri akan memainkan peranan sebaik mungkin dalam membantu meningkatkan bilangan usahawan pengeksport di Terengganu, termasuk mengenal pasti usahawan yang berpotensi.
“Itu usaha yang kami sedang buat terutama mengenal pasti usahawan dan kami dapati usahawan makanan yang paling besar (di Terengganu) dan itu termasuk usahawan pertanian seperti yang menghasilkan melon serta banyak lagi produk-produk lain,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif YPU Mohd Rashdan Muda dalam kenyataan berkata selain menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah sebagai usaha membantu meningkatkan keupayaan usahawan Terengganu, YPU juga menyediakan pelbagai peluang untuk memperluas perniagaan dan melengkapkan mereka dengan ilmu keusahawan yang komprehensif melalui pelbagai program serta modul yang tersedia.
“Diharapkan bagi mereka yang ingin menceburi pasaran eksport dapat menyertai program ini serta berhubung dengan Bahagian Pembangunan Usahawan kami. “YPU juga berharap akan menjadi pusat sehentian bagi usahawan Terengganu sama ada usahawan mikro, kecil atau sederhana mahupun usahawan yang telah diiktiraf di peringkat global,” katanya.-Bernama