Hari Jururawat Sedunia: Perwira barisan hadapan, tanggungjawab digalas penuh kecekalan

KUALA LUMPUR: Hari ini, 12 Mei, adalah hari istimewa buat perwira negara yang terdiri dalam kalangan para jururawat terutama yang bertungkus-lumus menzahirkan tugas sebagai anggota barisan hadapan, apatah lagi dengan keadaan Covid-19 pada masa kini.

Sesuai dengan tema Hari Jururawat Sedunia 2020, “A Voice to Lead : Nursing The World To Health”, stigma masyarakat bahawa tugas jururawat tidak sepenting doktor perlu dikikis kerana tanpa mereka, tidak lengkaplah sesebuah institusi perubatan itu.

Presiden Persatuan Jururawat Malaysia, Sharipah Asiah Syed Junid Al Junid mengakui para jururawat sentiasa berusaha keras dengan hati yang cekal dan kental meskipun tanggungjawab mereka mencabar dari semasa ke semasa.

“Komitmen perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh jururawat sentiasa di tahap jaminan kualiti yang terbaik.

“Posisi jururawat amat penting dalam institusi kesihatan kerana gandingan jururawat dan tenaga hospital yang lain adalah satu pakej lengkap untuk menjamin kesejahteraan pesakit sepanjang tempoh perkhidmatan rawatan diberikan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Bagi jururawat muda Nurul Fatin Izwani Abdul Rahman, 22, pengalaman pertamanya sebagai jururawat dan ditugaskan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, MAEPS Serdang adalah tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan yang besar.

“Awal-awal bila dapat panggilan untuk bertugas perasaan itu rasa tak bersedia lagi tapi apabila sudah dipertanggungjawabkan, saya sahut dan bersedialah.

“Saya harap pesakit faham dengan tugas kami dan lebih menghargai apa yang kami laksanakan sebab bukan semua orang mampu galas tanggungjawab sebagai jururawat,” katanya.

Dalam pada itu, sifat suka membantu membuatkan Nurqurratu’Aina Amran, 24, memilih profesion mulia ini sejak dibangku sekolah lagi.

Bagi beliau, ucapan “terima kasih” oleh pesakit sebagai tanda penghargaan sudah memadai bagi menghilangkan penat lelah mereka memerah keringat dalam merawat pesakit.

“Dalam diri saya memang ada sifat nak tolong orang dan tak boleh tengok orang susah. Apabila pesakit menghargai tugas kita, sekadar cakap terima kasih pun kita dah gembira,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Di ruang komen Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, Nantha Kumar Kumar dan Hafiz Aizud Yusof adalah antara pengguna Facebook yang menzahirkan ucapan penghargaan kepada para jururawat.

“Selamat hari jururawat sedunia semoga Tuhan restui para jururawat dan doktor berjuang demi keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia semua dan seluruh dunia jururawat dan doktor... Happy Nurses Day,” menurut pengguna Nantha Kumar Kumar.

“Terima kasih atas segala pengorbanan masa, tenaga dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutama dalam menghadapi situasi Covid-19. Kami mendoakan semoga diberi kecekalan untuk terus membendung penularan Covid-19 bersama-sama petugas barisan hadapan yang lain,” kata pengguna Hafiz Aizud Yusof.

Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua warga jururawat, tidak kira di manapun anda berada!