GELANG PATAH: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam kemalangan pagi ini semasa menjalani simulasi lintas hormat bagi latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) berhampiran Sungai Pulai.
Kejadian berlaku di perairan berdekatan Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), lokasi latihan yang melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan itu melibatkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG.
“Helikopter berkenaan dikendalikan oleh PDRM dan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang,“ menurut kenyataan CAAM.
Wartawan Bernama yang berada di lokasi bagi membuat liputan program turut menyaksikan kejadian tersebut. Lima mangsa dilaporkan selamat selepas insiden itu. - Bernama