KLANG: Kemeriahan Deepavali semakin terasa di Little India Jalan Tengku Kelana dengan masyarakat India membuat persiapan terakhir termasuk memakai henna.
Pengusaha seni henna kelihatan tidak menang tangan melukis pelbagai corak pada tangan pelanggan mereka.
Pengusaha henna Isaac Raj, 25, berkata harga perkhidmatannya antara RM10 hingga RM50 bergantung pada corak, motif dan warna pilihan pelanggan.
“Sebenarnya ada yang lebih mahal hingga mencecah ratusan ringgit, namun kemahiran yang ada pada tukang henna juga mampu menghasilkan corak seolah-olah menggunakan henna mahal,“ katanya.
Isaac yang berpengalaman hampir 10 tahun berkata motif popular termasuk bunga, daun, burung merak dan geometrik.
P. Lallytha, 50, dari Puchong berkata henna biasanya digayakan wanita untuk menonjolkan keanggunan dengan sari semasa Deepavali.
“Zaman sekarang mudah untuk pakai henna kerana sudah ada dalam bentuk tiub, jadi proses memakainya boleh siap dalam tempoh kurang 15 minit,“ katanya.
R. Gayathiry, 21, berkata dia menjadikan pemakaian henna sebagai persiapan terakhir untuk memanjangkan tempoh corak di tangan.
“Saya akan siapkan kerja-kerja lain terlebih dahulu kerana sehari sebelum Deepavali paling sesuai untuk memakai henna,“ katanya.
Dengan harga dan corak yang ada, Gayathiry merasakan ia berbaloi untuk digayakan terutamanya oleh kanak-kanak. – Bernama