HIROSHIMA: Hiroshima pada Rabu menyeru golongan belia supaya menerajui usaha membebaskan dunia daripada senjata nuklear serta merayu negara-negara agar mengetepikan kepentingan sendiri demi menamatkan konflik, ketika bandar itu memperingati ulang tahun ke-80 pengeboman atom oleh Amerika Syarikat.
“Walaupun berlaku kekacauan semasa di peringkat negara bangsa, kita sebagai rakyat tidak boleh berputus asa,” kata Datuk Bandar Hiroshima Kazumi Matsui dalam Deklarasi Keamanan semasa upacara peringatan tahunan itu, lapor agensi berita Kyodo.
“Golongan muda, sebagai pemimpin generasi akan datang, mesti menyedari bahawa dasar yang tersasar berkaitan perbelanjaan ketenteraan, keselamatan negara dan senjata nuklear boleh membawa akibat yang amat tidak berperikemanusiaan.
“Kami menggalakkan mereka untuk tampil ke hadapan dengan pemahaman ini dan memimpin masyarakat sivil ke arah konsensus,” tambahnya.
Matsui turut menyeru pemimpin dunia supaya melawat Hiroshima untuk menyaksikan sendiri kesan peperangan nuklear, serta menggesa negara-negara yang sedang meningkatkan kekuatan ketenteraan agar memilih jalan dialog dan mengurangkan kebergantungan terhadap senjata nuklear.
Sementara itu, Perdana Menteri Shigeru Ishiba dalam ucapannya berkata adalah menjadi misi Jepun, sebagai satu-satunya negara yang pernah mengalami kemusnahan nuklear semasa peperangan, untuk memimpin usaha global ke arah dunia tanpa senjata nuklear.
Sesi tafakur selama seminit diadakan pada 8.15 pagi, iaitu waktu tepat bom uranium yang digugurkan oleh pesawat pengebom Amerika Syarikat, Enola Gay, meletup di udara di atas Hiroshima pada 6 Ogos 1945.
Menjelang akhir tahun itu, letupan berkenaan dianggarkan telah mengorbankan 140,000 orang.
Bersempena dengan ulang tahun ke-80 itu, sejumlah 120 negara dan wilayah yang merupakan rekod dalam kehadiran pada upacara di Taman Peringatan Keamanan berhampiran hipopusat, menurut pegawai bandar Hiroshima.
Tiga hari selepas pengeboman Hiroshima, Amerika Syarikat menggugurkan bom atom kedua di Nagasaki. Jepun menyerah kalah enam hari kemudian, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua. - Bernama-Kyodo