KOTA KINABALU: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 telah mencatatkan nilai jualan RM7.6 juta dan menerima lebih 300,000 pengunjung setakat hari kedua program berlangsung semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya yakin akan mencapai sasaran 500,000 pengunjung dan jualan RM15 juta menjelang penutupan program. “Sambutan sangat menggalakkan, dan ramai orang datang. Tidak mustahil sasaran dicapai kerana harga barangan biasanya diturunkan pada penghujung program,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutupan HPPNK 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Mohamad turut menyatakan 14 dokumen persefahaman dan perjanjian strategik bernilai RM526 juta berjaya dimeterai. Komoditi utama seperti durian, nanas, dan kelapa segar menjadi fokus eksport.
“Buah avocado dan bawang dari Sabah juga berpotensi dikembangkan. Avocado ditanam di Tawau, manakala bawang subur di Ranau. Kedua-dua tanaman ini berpotensi untuk dieksport,“ jelasnya. - Bernama