• 2025-09-16 08:04 PM

JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia menyeru rakyat Malaysia menghargai jasa para pejuang tanah air yang telah berkorban demi kemerdekaan negara.

Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menegaskan bahawa dalam meraikan nikmat kemerdekaan, wajar bagi semua meluangkan masa untuk mengenang pengorbanan mereka yang menjadi tonggak kebebasan.

Beliau menyatakan semua rakyat adalah penyambung amanah untuk meneruskan perjuangan ke arah Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera.

Ucapan beliau disampaikan pada Upacara Menaikkan Bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 di kompleks kedutaan.

Majlis itu dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN dan ketua-ketua agensi kerajaan Malaysia di Jakarta.

Duta Besar turut yakin hubungan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang di bawah kepimpinan Presiden Prabowo dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hubungan kedua-dua negara mencatat perkembangan pesat dalam pelbagai bidang pada 2024.

Nilai dagangan dua hala pada tahun lalu mencecah AS$25 bilion, menjadikan Indonesia rakan dagang keenam terbesar Malaysia.

Malaysia melonjak sebagai pelabur asing keempat terbesar di Indonesia dengan nilai AS$4.2 bilion.

Seramai 4.14 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia manakala 2.27 juta rakyat Malaysia melancong ke Indonesia.

Kira-kira 11,000 pelajar Indonesia sedang menuntut di Malaysia manakala lebih 1,100 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Indonesia.

Upacara rasmi dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang diiringi alunan muzik patriotik oleh Pancaragam PDRM.

Acara turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi patriotik oleh anak-anak Kelas Bimbingan Malaysia.

Persembahan Choral Speaking oleh 20 pelajar SMA 78 Jakarta mendapat tepukan gemuruh daripada para tetamu.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai serta jamuan. – Bernama