PUTRAJAYA: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) tidak bersetuju dengan bantahan dibuat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Naib Pengerusi Kanan MCPF Datuk Seri Ayub Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata hakim mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman itu walaupun kerajaan telah menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh dan pengedaran dadah.

“Malah, sebahagian negeri di Amerika Syarikat masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah bagi kes membunuh. Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan budaya, perundangan dan amalan barat yang ternyata songsang dengan norma kehidupan manusia,” katanya.

Terdahulu, Suhakam dalam satu kenyataan membantah hukuman mati berkenaan dan berpendapat hukuman sedemikian bukan penyelesaian yang adil mahupun berkesan.

Ayub berkata MCPF berpandangan hukuman gantung sampai mati dijatuhkan Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas, adalah tepat dan setimpal.

Beliau berkata tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia, lebih-lebih lagi ia dilakukan golongan terpelajar.

“Tindakan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah sesuatu perbuatan diharamkan dalam Islam,“ katanya.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan sebulat suara menyatakan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila meminda pertuduhan asal daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.