KOTA BHARU: Seorang wanita maut manakala dua anak lelakinya berusia sembilan dan 14 tahun mengalami kecederaan apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Felda Chiku 3, Gua Musang hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Mohd Razani Mamat berkata kejadian berlaku semasa wanita berkenaan Rohaya Jaafar, 42, baru mengambil anak-anaknya dari sekolah pada kira-kira 1.30 tengah hari.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan wanita itu yang tersepit dalam keretanya, namun dia disahkan meninggal dunia pada 2.31 petang oleh pihak kesihatan yang hadir,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata anggota bomba kemudian membuat kerja-kerja pembersihan bagi memastikan kawasan kemalangan itu benar-benar selamat, dan operasi selesai pada 3.13 petang.