KUALA LUMPUR: ICT Zone Asia Bhd (ICT Zone) didagangkan mendatar pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, dengan 2.12 juta saham diniagakan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Tommy Lim Kok Kwang berkata sebanyak RM21 juta atau kira-kira 80 peratus dana yang diraih daripada IPO akan diperuntukkan untuk mengembangkan segmen pembiayaan teknologinya.
“Peningkatan permintaan terhadap penyelesaian pembiayaan teknologi, terutamanya dengan peranti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bakal dilengkapi kecerdasan buatan (AI), digabungkan dengan perubahan pemerolehan ICT sektor awam daripada perbelanjaan modal kepada model langganan perbelanjaan mengurus, mewujudkan peluang pertumbuhan luar biasa kepada perniagaan kami.
“Kami yakin untuk mencapai sasaran nilai perolehan kontrak dalam tangan sebanyak RM500 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang sambil mengekalkan kewangan berhemah, strategi kami untuk berkembang dengan bertanggunghawab dan mampan bagi meningkatkan bahagian pasaran kami,” katanya dalam majlis penyenaraian IPO di sini hari ini.
Pada 26 Mei lepas, syarikat penyelesaian pembiayaan teknologi itu melaporkan bahawa sahamnya terlebih langganan sebanyak 1.89 kali.
Kumpulan itu berjaya meraih RM26.6 juta menerusi pelaksanaan IPOnya.
Selain itu, Lim berkata syarikat tersebut telah berkembang ke dalam segmen awan sejak tiga tahun lalu, termasuk menerusi pengambilalihan 58 peratus pegangan dalam Cloudify.Asia.
“Ia merupakan satu lagi tonggak menegak yang kami harap dapat terus dicapai menerusi pengembangan cadangan penyelesaian pembiayaan teknologi dan dengan itu, kami telah mengenal pasti beberapa kaedah menegak lain,” katanya.
Beliau berkata pegangan pasaran semasa syarikat dalam sektor kerajaan, menerusi rakan kongsi strategik adalah kira-kira 10 peratus.
“Dengan perolehan baharu ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah itu kepada sekurang-kurangya 20 peratus,” katanya.