MUAR: Pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang selepas keretanya terjunam ke Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong, dipercayai sengaja merekacita kejadian tersebut sebelum melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan mendapati adik suspek, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, turut terlibat dengan memberikan maklumat palsu. “Adik suspek mengaku bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian,“ jelas Raiz Mukhliz.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas kes itu awalnya diklasifikasikan sebagai orang hilang. Namun, polis mendapati terdapat keraguan dalam laporan yang dibuat. “Kami percaya kehilangan ini direka, dan suspek menenggelamkan kereta milik isterinya sebelum melarikan diri,“ tambahnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu dan Seksyen 109 kerana bersubahat. Polis sedang menunggu kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan Tengku Nizaruddin, yang juga peniaga aksesori kenderaan, hilang selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke sungai. - Bernama