GEORGE TOWN: IJM Land Berhad (IJM Land) memaklumkan penutupan sementara lorong di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu melibatkan laluan menghala ke George Town dari 16 hingga 27 Jun ini.
Menurut kenyataan IJM Land, pemaju bagi projek The Light Waterfront Pulau Pinang, penutupan dari pukul 10 malam hingga 5 pagi bagi tempoh itu bertujuan memberikan laluan kepada kerja-kerja membuka infrastruktur jejantas pejalan kaki sedia ada dilakukan dengan selamat.
“Kerja akan dilakukan di luar waktu puncak untuk mengurangkan gangguan. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengikut arahan trafik dan sentiasa berwaspada semasa melalui kawasan terlibat,“ menurut kenyataan itu hari ini.
Selain itu, IJM Land turut mengumumkan pembukaan jalan baharu dari Jalan Tunku Kudin (arah Bayan Lepas) ke The Light Waterfront Pulau Pinang berkuat kuasa pada 1 Julai ini.
“Jalan baharu ini akan menyediakan akses terus dan lancar bagi pengguna jalan raya yang melalui kawasan Green Lane ke The Light Waterfront Pulau Pinang,“ menurut kenyataan itu.
Sementara itu, susur keluar (arah Bayan Lepas) yang kekal dari The Light Waterfront Pulau Pinang juga akan dibuka pada 1 Julai manakala susur keluar sementara sedia ada akan ditutup, dan papan tanda disediakan untuk panduan kepada pengguna jalan raya melalui jalan baharu.
IJM Land kekal komited untuk mengutamakan keselamatan awam dan memastikan peralihan yang lancar sepanjang fasa ini.