KUALA LUMPUR: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci Makkah menjadikan jumlah keseluruhan 15 orang setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Nor Azamuddin Ahmad, 56, dari kumpulan KT073 menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci Makkah pada 5.10 petang semalam waktu tempatan akibat serangan jantung.
Beliau berkata jemaah lelaki itu menetap di Bangunan Marsa Al Jariah, Maktab 81 (PJH - Mahabbateen) dan beliau ditemani isteri, Rozina Saad ketika di Tanah Suci.
“Pihak Tabung Haji telah menguruskan pengesahan kematian dan memaklumkan berita pemergian kepada waris di tanah air. Segala urusan jenazah akan diuruskan oleh petugas haji, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan atas ujian itu.
“Marilah kita semua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Amin ya Rabbal ‘alamin,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata Allahyarham yang juga Naib Ketua bahagian itu pernah memasang ‘stent’ jantung kira-kira lapan tahun lepas.
“Saya ada bercakap dengan dia semalam lebih kurang 7 malam (waktu Malaysia).
“Dia memang ada mengadu penat kerana cuaca panas dan perlu berjalan lebih enam kilometer setiap hari ... namun, sudah tertulis takdir untuknya, dia pergi dalam keadaan cukup baik,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini hari ini.
Jelasnya, Allahyarham sepatutnya pulang ke tanah air bersama isterinya pada 2 Julai depan dan pihaknya akan berusaha untuk menguruskan supaya balu Allahyarham dapat pulang lebih awal.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini bermula dengan suasana hiba selepas mendapat perkhabaran duka itu.
Allahyarham yang mesra disapa Azam dilaporkan terjatuh ketika selesai melakukan tawaf.S