JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 46 warga asing dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dalam serbuan di beberapa premis di menara terkenal di bandar raya ini, semalam.

Turut ditahan dalam Ops gegar dan Ops Selera itu seorang wanita warga tempatan dipercayai majikan kepada pekerja berkenaan.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata serbuan kira-kira 4.45 petang di premis pusat refleksologi, spa dan tiga restoran di menara itu dilakukan susulan aduan awam diterima memaklumkan beberapa premis berkenaan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan 32 wanita warga Indonesia, lapan wanita Thailand, dua lelaki India dan seorang lelaki Bangladesh serta seorang wanita tempatan, dengan kesemua mereka berusia lingkungan 21 hingga 58 tahun.

“Tangkapan dibuat kerana kesemua mereka disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, Pas Lawatan Kerja Sementara dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharuddin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala wanita tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan kepada majikan dan pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit yang sah.

“Kita turut menyeru kepada orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan yang menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka dalam usaha memastikan keamanan negara dijaga bersama-sama,” katanya. –Bernama