IPOH: Seramai 121 pendatang asing tanpa izin yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, dekat sini, dihantar pulang ke negara asal hari ini selepas selesai menjalani hukuman denda dan penjara.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata penghantaran pulang itu melibatkan 76 lelaki, 37 wanita, enam kanak-kanak lelaki serta dua kanak-kanak perempuan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Kesemua mereka berusia lingkungan satu bulan hingga 55 tahun.

“Rata-rata mereka didapati telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selain diputuskan pemindahan ke negara asal masing-masing di bawah akta dan peraturan yang sama, katanya dalam kenyataan di sini.

Meor Hezbullah berkata semua pendatang tanpa izin yang dipindahkan ke negara asal itu juga telah disenarai hitam bagi mencegah mereka daripada memasuki semula negara ini.

“Program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membenteras pendatang asing tanpa izin yang dijalankan oleh pihak kami,” katanya.