TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 104 pendatang tanpa izin warga Indonesia ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau di sini semalam, kata pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof.

Beliau berkata proses itu melibatkan tahanan di Depot Imigresen Tawau terdiri 78 lelaki, 21 wanita serta lima kanak-kanak yang berumur antara dua hingga 55 tahun.

“Ini program pemindahan pendatang tanpa izin siri ke-12 kategori usir laut bagi tahun 2024, mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata program pemindahan warga Indonesia itu dilaksanakan dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia Tawau.