SEREMBAN: Seramai 151 pendatang asing tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIMNS) Negeri Sembilan dalam operasi Ops Timur 2.0 yang dijalankan di empat daerah sekitar negeri ini.

Pengarah JIMNS Kennith Tan Ai Kiang berkata individu yang ditahan berusia antara setahun hingga 52 tahun dan ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 411 individu daripada pelbagai warganegara di 56 premis berasingan, yang menumpukan kawasan sekitar Kuala Pilah, Jelebu, Jempol Gemencheh, Tampin, dan Gemas selama empat hari bermula 17 Oktober lalu.

“Pendatang yang ditahan adalah 53 lelaki, 17 wanita dan dua kanak-kanak lelaki Indonesia; 27 lelaki Bangladesh; 15 lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki Myanmar. Turut ditahan seorang lelaki Yemen, seorang lelaki Afganistan; 19 lelaki Pakistan; dua lelaki India; sembilan lelaki dan dua wanita Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kennith berkata semasa operasi dijalankan, terdapat pelbagai cubaan warga asing untuk melarikan diri termasuk bersembunyi dalam kawasan hutan dan ladang berdekatan.

“Beberapa warga asing juga merayu kepada pegawai untuk dibebaskan. Mereka telah dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut,“ tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata 28 borang saman saksi dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan.