• 2025-07-03 05:41 PM

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah berjaya menahan tujuh lelaki warga China dan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Seraya semalam. Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata kesemua warga China itu didapati melanggar syarat pas yang sah, manakala dua warga tempatan dipercayai melindungi mereka serta turut terlibat dalam aktiviti tersebut.

“Pasukan operasi merampas kesemua pasport warga China selain komputer riba dan lebih 30 unit telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Ridzzuan menegaskan bahawa aktiviti perjudian dalam talian yang didalangi pendatang tanpa izin bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut memberi kesan negatif kepada keselamatan dan ketenteraman awam negara.

“Kami tidak akan berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas, atau melakukan aktiviti tidak bermoral. Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin,“ tegasnya. – Bernama