KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 15 pendatang tanpa izin dalam Op Sapu dan Kutip di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, semalam.

Pengarahnya Mohd Yusri Mohd Nor berkata kesemua lelaki warga Myanmar dan Bangladesh berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan di lima premis di tapak pembinaan bangunan kediaman antara 12 tengah hari hingga 7 malam.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka masuk ke negara ini tanpa kebenaran selain tinggal melebihi tempoh masa.

“Kita telah memeriksa 54 warga asing dalam Op Sapu dan Kutip yang dijalankan secara bersepadu dengan beberapa agensi lain.

“Selain tinggal lebih masa dan masuk tanpa kebenaran, ada juga kesalahan membabitkan pelanggaran syarat pas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata pihaknya turut mengeluarkan notis kepada seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang disyaki melindungi pendatang tanpa izin.