JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menumpaskan sindiket ‘pasport terbang’ yang didalangi seorang wanita tempatan, dalam satu serbuan di Taman Nusa Bestari di sini, semalam.
Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata wanita berusia 47 tahun itu, disyaki menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen berkenaan, dengan mengenakan bayaran sebanyak RM400 hingga RM500, bagi setiap pasport yang dibuat.
Beliau berkata serbuan kira-kira 6 petang itu, dilakukan hasil risikan selama dua minggu oleh Unit Risikan Bahagian Penguat Kuasa, yang mendapati sindiket terbabit telah beroperasi sejak dua atau tiga bulan lepas.
“Kita turut menahan seorang lelaki warga China berusia 34 tahun di sebuah petak parkir, yang dipercayai turut terlibat dalam sindiket tersebut.
“Selain itu, sebuah kereta jenis Toyota Mark X berwarna putih turut disita dan lima pasport China serta wang tunai berjumlah RM12,100 turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharuddin berkata kedua-dua individu terbabit, ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen (1959/63) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri.
“Kita memandang serius terhadap kegiatan sindiket yang mengaut keuntungan dengan memalsukan dokumen berkaitan jabatan. Justeru, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengupah atau bersubahat melindungi pendatang asing,” tegasnya. –Bernama