PUTRAJAYA: Industri penerbangan Malaysia dalam proses pemulihan dan membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan yang berterusan, selaras dengan sektor penerbangan di rantau ini yang pulih secara keseluruhannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului dengan margin yang besar dari segi pertumbuhan tahunan, mencapai peningkatan 16.9 peratus tahun ke tahun mengikut hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK).
“Tahun ini mencatatkan pemulihan secara keseluruhan di peringkat serantau dalam industri penerbangan berikutan semua rantau telah mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada paras sebelum pandemik.
“Berdasarkan Malaysia yang terletak secara strategik di tengah-tengah ASEAN, kita merupakan pintu masuk ke Asia dan rantau lain.
“Pada Tahun Melawat Malaysia 2026, kami mahu memperkukuh ekonomi bernilai tinggi dan mampan, yang menyokong inovasi, menarik pelaburan dan meningkatkan kedudukan kita di peringkat global,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Pertukaran Dokumen untuk Pesanan Penggantian Pesawat Lorong Tunggal Malaysia Aviation Group (MAG) di sini hari ini.
MAG hari ini mengumumkan pemerolehan 30 pesawat baharu secara terus daripada The Boeing Company sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan kumpulan pesawatnya.