PUTRAJAYA: Semua inisiatif dalam Belanjawan 2025 dilihat berupaya membantu Kementerian Digital menerajui usaha transformasi digital, mewujudkan ekosistem digital negara yang cekap dan selamat, melonjakkan ekonomi digital negara dan merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata keprihatinan kerajaan yang dizahirkan melalui belanjawan tersebut jelas menitikberatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat sejagat.

Beliau berkata peruntukan RM1.3 bilion kepada Kementerian Digital akan membantu usaha kementerian itu untuk mencapai dan merentasi sasaran agar ekonomi digital dapat menyumbang 25.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang tahun depan.

“Peruntukan ini adalah untuk usaha-usaha merangsang inovasi teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan memperkukuh ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam memperincikan peruntukan berkenaan, Gobind berkata RM10 juta diperuntukkan kepada Kementerian Digital untuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang bertujuan mempertingkat penggunaan teknologi AI melalui kerjasama dengan akademia dan industri.

Pada masa sama beliau turut menyambut baik peruntukan untuk penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe Network) yang bertujuan menggembleng kepakaran dan aspek keselamatan AI.

Menyentuh kandungan dokumen Belanjawan 2025, Gobind juga mengalu-alukan peruntukan kepada kementerian lain yang menjurus kepada matlamat untuk menggalakkan dan memperkukuhkan ekosistem digital serta teknologi baharu.

Antara yang diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan semalam adalah pelaksanaan e-invois sepenuhnya pada 1 Julai 2025, peruntukan RM50 juta untuk pembelajaran AI kepada semua universiti penyelidikan dan peruntukan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk penambahan jawatan.