KOTA KINABALU: Seorang pegawai pengendali dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa arahan akan diminta daripada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkaitan liputan media kes berkenaan.
Pengarah Pendakwaan Sabah Nahra Dollah memaklumkan demikian apabila Koroner Amir Shah Amir Hassan bertanyakan sama ada media boleh dibenarkan untuk membuat liputan prosiding memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi.
Oleh kerana tiada bantahan daripada pihak terlibat, Nahra berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara.
Sejak Isnin, petugas media telah dihalang daripada memasuki ruang mahkamah semasa keterangan secara tertutup bagi melindungi identiti saksi kanak-kanak.
Setakat ini, dua saksi pelajar telah memberi keterangan.
Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak.
Sebanyak 33 lagi saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan pada sesi akan datang.
Setakat ini, lapan saksi dewasa telah memberikan keterangan dalam prosiding itu, dengan 25 saksi dewasa dijangka memberi keterangan pada sesi akan datang.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.
Sebelum itu pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama