JOHOR BAHRU: Inovasi teknologi nuklear dilihat dapat meningkatkan keselamatan perlindungan sinaran di negara ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan.

Beliau berkata dengan kepesatan teknologi moden, amalan perlindungan sinaran yang baik perlu diberikan penekanan dalam memastikan keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar.

“Pemerhatian dan pemahaman terhadap amalan semasa, inovasi teknologi terkini dan trend masa hadapan menyumbang ke arah kepada pemahaman tentang panorama perlindungan sinaran yang sentiasa berevolusi.

“Tambahan, Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) yang diperkenalkan MOSTI adalah bertujuan untuk menangani isu tersebut, di samping meluaskan tahap sumbangan teknologi nuklear kepada produktiviti negara bagi menyokong aspirasi menjadi sebuah negara yang progresif dan mampan menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kepentingan amalan keselamatan perlindungan terbaik tidak boleh sama sekali dikompromi dalam apa jua keadaan dan pelbagai inovasi perlu dihasilkan untuk meningkatkan keselamatan dan perlindungan sinaran.

Mohd Nor Azman berkata Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) telah menganjurkan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran (RPCW) 2024 dengan kolaborasi Jabatan Tenaga Atom serta disokong Kementerian Kesihatan bermula semalam, di sini.

Beliau berkata persidangan dan bengkel empat hari itu dengan tema “Enhancing Radiation Safety Practices: Innovations and Emerging Technologies” merupakan platform ideal bagi semua pihak untuk berkongsi idea, ilmu dan strategi terbaik, selain merupakan acara yang penting bagi mencapai agenda negara selaras DTNN.

Menurutnya pelbagai aktiviti termasuk bengkel interaktif meja bulat dan sesi forum yang mengupas peluang dan cabaran perlindungan sinaran terhadap inovasi dan teknologi baharu diadakan selain lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi mengetahui aplikasi teknologi nuklear menerusi pengimbasan mesin sinar-X ke atas pengangkutan.

Tambah beliau lagi program tersebut juga menerima nilai mata pemberat (CEP) yang diiktiraf Jabatan Tenaga Atom Malaysia iaitu peserta yang mengikuti program sepenuhnya layak untuk memperbaharui Lesen Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) di Malaysia, seterusnya mengekalkan kompetensi mereka sebagai pengamal sinaran.