Your Title

KAJANG: Insiden membaling batu ke arah bas membawa penyokong pasukan Perak FC di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dekat sini, Ahad lepas hanya perbuatan nakal dan tiada motif spesifik, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata ia bukan satu pergaduhan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Dua lelaki itu telah pun ditahan. Tiada sebarang motif spesifik. Lebih kepada perbuatan nakal dan bukan untuk cederakan sesiapa.

“Insiden juga tidak beri kerosakan yang besar kepada mana-mana pihak,” katanya.

Hussein berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang baharu antara ACP Mohd Zaid Hassan dengan penggantinya ACP Naazron Abdul Yusof di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Mohd Zaid dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Selangor baharu manakala Naazron sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Isnin lepas, dua lelaki ditahan gara-gara membaling batu ke arah bas membawa penyokong The Bos Gaurus selepas perlawanan bola sepak Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar dilaporkan berkata kedua-dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun itu bertindak membaling batu ke arah bas terbabit yang sedang menghala ke arah utara.

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata pihaknya percaya kejadian rompakan senjata api di kedai emas di sini pada 17 Jun lepas tidak mempunyai kaitan dengan rompakan berlaku di Perlabuhan Klang pada 13 Jun.

“Dua insiden rompakan di Kajang dan Klang Selatan, polis percaya ia daripada kumpulan berbeza,” katanya berkaitan kes seorang lelaki bersenjatakan pistol hanya mengambil masa kurang satu minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian di Pelabuhan Klang, di sini, pada 13 Jun.

Pada 17 Jun, media melaporkan polis memburu empat lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai merompak sebuah kedai emas dalam bangunan di sini.