• 2025-10-13 08:28 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju memberikan kemudahan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh institusi pendidikan tinggi awam bermula 16 hingga 24 Oktober ini sempena sambutan Deepavali.

KPT memaklumkan kemudahan berkenaan membolehkan warga institusi terlibat meraikan Pesta Cahaya bersama keluarga dalam suasana harmoni dan bermakna.

Kemudahan ini meliputi universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi meraikan perayaan Pesta Cahaya ini.

Langkah berkenaan dipersetujui hasil perbincangan bersama jabatan dan agensi berkaitan dengan pelaksanaannya tertakluk kepada kesesuaian serta keperluan program akademik masing-masing.

Pelaksanaan ini bagi memastikan aktiviti pengajaran tidak terjejas di institusi terlibat.

KPT memaklumkan kemudahan tersebut merupakan satu daripada usaha bagi meraikan kepelbagaian agama dan budaya dalam kalangan warga IPT.

Ini selaras dengan semangat keterangkuman serta keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

KPT turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta rakyat Malaysia beragama Hindu.

Perayaan Deepavali diharap membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.

Perayaan Deepavali disambut pada 20 Oktober ini. – Bernama