PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil langkah berhati-hati dalam isu pemansuhan kesalahan servis ‘terbang’ dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi memperhalusi cadangan pindaan peraturan permainan.
Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis ISTAF di Hatyai, Songkhla semalam. Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Taufiq Halim dan Prof Chalerm Chaiwatcharaporn.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan serta Penolong Setiausaha Agung ISTAF dari India Yogender Singh Dahiya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Servis ‘terbang’ merujuk kepada situasi di mana tekong melonjak atau mengangkat kedua-dua kaki semasa melakukan servis dari dalam bulatan tengah gelanggang. Abdul Halim menegaskan ISTAF tidak akan memansuhkan bulatan tengah yang menjadi identiti permainan sejak Sukan SEAP 1965.
Selain itu, beliau mengumumkan 16 negara bakal diundang menyertai Piala Dunia ISTAF 2026 di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada Mei 2026. “Pembahagian kepada Divisyen Perdana dan Divisyen Satu masih dalam pertimbangan,” jelasnya - Bernama